Skuad Rantau Panjang-EJD akan tampil dengan misi memadamkan kelebihan satu gol yang dimiliki Tawau dalam perlawanan akhir kedua Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) edisi ketiga di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Ketua jurulatihnya, Juha Ismail, berkata biarpun akur dengan kekalahan 1-2 dalam pusingan pertama, pihaknya yakin kebangkitan yang bakal dipamerkan pemain Rantau Panjang –EJD bagi memastikan Piala LBR kekal di bumi Kelantan.

“Kami akan turun dengan taktikal menyerang kerana mahu mencari gol awal bagi memadam kelebihan jaringan pasukan lawan.

“Benteng pertahanan pula diingatkan supaya sentiasa fokus dan tidak mudah memberi pemain lawan menguasai bola,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan pasukan, Juha memberitahu tiada perubahan besar dilakukan, sebaliknya sepanjang tempoh rehat dua minggu lalu dia lebih banyak menumpukan usaha memperkemaskan corak permainan.

“Saya harap pemain dapat bertenang dan tidak banyak melakukan kesilapan mudah. Beraksi seperti biasa dan Insya-Allah, kejayaan pasti menjadi milik kami,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Tawau, Adzrien Harun, menafikan pemainnya akan beraksi secara bertahan untuk mempertahankan kelebihan jaringan, sebaliknya memilih beraksi dengan taktikal menyerang.

“Tawau akan turun secara menyerang untuk mencari gol awal dan beri tekanan kepada tuan rumah.

“Saya akan turunkan pemain terbaik dan berjanji akan mempamerkan aksi terbaik.

“Ini peluang terbaik kami menjulang kejuaraan dan mencipta sejarah,” katanya.

Untuk rekod, dalam aksi final pertama, Tawau berjaya menjaringkan dua gol dalam sepuluh minit terakhir untuk mengecewakan Rantau Panjang-EJD 2-1 di Stadium Utama, Kompleks Sukan Tawau, minggu lalu.