LBR: Rantau Panjang-EJD mahu kejutkan Tentera Darat FA

Oleh Farizal Yusoff 14 April 2018 1376
LBR: Rantau Panjang-EJD mahu kejutkan Tentera Darat FA
Ketua Jurulatih Rantau Panjang –EJD, Juha Ismail, yakin skuadnya mampu melakukan kejutan dalam separuh akhir pertama menentang Tentera Darat FA dalam saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) peringkat kebangsaan di Padang B,  Kem Batu Kentomen, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, petang ini.

Walaupun kehadiran skuadnya ke Kuala Lumpur agak tempang kerana empat pemain utama mengalami masalah kecederaan dan demam tetapi itu bukanlah alasan untuk mereka menyerah kalah.

“Pemain berpengalaman, Zulhilmi Awang dan Mohd Khairol Ramli mengalami kecederaan semasa menentang Miri di peringkat suku akhir baru-baru ini. Lebih perit, dua pemain lagi  Muhammad Saiful Hafzan Sulaiman dan Muhamad Saiful Syahrul Rizal Shaa’ri menghidap demam. 

“Namun, inilah hakikat yang terpaksa dihadapi tetapi saya yakin semua pemain tetap bersemangat mencipta sejarah biarpun sedar pasukan lawan (Tentera Darat) sebuah pasukan yang cukup kuat tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan pasukan lawan, Juha mengakui pemain Tentera Darat memiliki stamina yang tinggi dan tidak mudah tertekan biarpun ketinggalan.

“Daripada maklumat dan pemerhatian saya, skuad Tentera Darat memiliki pemain yang mempunyai stamina yang tinggi dan sentiasa cergas sepanjang 90 minit permainan.

“Kami akan bermain mengikut strategi yang ditetapkan dan yakin misi untuk mencari gol di tempat lawan sambil mempertahankan  pintu gol daripada dibolosi akan tercapai."

Untuk rekod, Rantau Panjang –EJD mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Miri 8-3 manakala Tentera Darat FA membelasah pasukan Jerantut 10-2 secara agregat.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen