LBR: Rantau Panjang–EJD buru bekalan gol

Oleh Farizal Yusoff 5 Mei 2018 1485
LBR: Rantau Panjang–EJD buru bekalan gol
Skuad Rantau Panjang-EJD tampil dengan misi memburu bekalan gol apabila bertemu Tawau dalam perlawanan akhir pertama Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017-2018 di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau, malam ini.
 
Ketua jurulatih, Juha Ismail, menjelaskan pasukannya bukan sahaja memerlukan jaringan sebagai jaminan selamat sebelum aksi kedua di Kota Bharu tetapi dalam masa sama perlu memastikan gawang mereka tidak bolos dalam pertemuan tersebut.
 
“Kami tidak akan bermain secara bertahan kerana bukan matlamat pasukan ini terbang beratus-ratus kilometer semata-mata mahu beraksi seperti itu.
 
“Kami akan turun dengan taktikal menyerang kerana dalam aksi timbal balik seperti ini, kami perlu manfaatkan peluang bermain di tempat lawan dengan mencari gol terlebih dahulu di sana,” katanya.
 
Sementara itu, ketika mengulas lanjut mengenai persiapan pasukannya, Juha memberitahu tiada perubahan besar dilakukan, sebaliknya sepanjang tempoh rehat sejak dua minggu lalu lebih banyak digunakan untuk menumpukan usaha memperkemaskan corak permainan.
 
“Namun, kami masih terkilan kerana dua tonggak, Mohamad Zamri Ramli dan Zulhilmi Awang, tidak sempat pulih daripada kecederaan untuk perlawanan ini dan aksi kedua pada 12 Mei.
 
“Hanya Mohamad Erwan (Berhan) kembali pulih dan cergas untuk bermain. Apa pun, saya percaya pengganti mereka boleh menggalas tugas dengan baik berdasarkan aksi ditunjukkan ketika menyingkirkan Tentera Darat FA dalam separuh akhir, bulan lalu.”

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen