Cristiano Ronaldo kini memandang ke depan dan meneruskan cabaran walaupun selepas dilayangkan kad merah dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, kata rakan sepasukannya di Juventus, Alex Sandro.

Ronaldo diperintah keluar padang sewaktu Juve menewaskan Valencia 2-0, awal pagi Khamis lalu, selepas berebut bola dengan Jeison Murillo dan menarik rambut pertahanan itu.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) masih belum membuat keputusan mengenai hukuman lanjut buat Ronaldo walaupun dia dijangka terlepas pertemuan di Old Trafford menentang bekas kelabnya, Manchester United.

Walaupun Ronaldo tampak sugul sewaktu meninggalkan padang di Mestalla selepas dilayangkan kad merah, Sandro berpendapat rakan sepasukannya itu meletakkan insiden itu di belakangnya.

"Saya dapat lihat dia kini lebih bermotivasi," kata Sandro.

"Ronaldo memiliki banyak pengalaman dan dia tahu apa yang berlaku telah berlalu.

"Dia sentiasa memandang ke depan. Ronaldo hadir ke dalam pasukan, membantu rakan sepasukan dan membawa kualiti.

"Daripada apa yang saya faham, saya belajar daripadanya di dalam dan di luar padang.

"Saya dapat memahami pergerakan dan cara dia menerima bola. Perlahan-lahan, saya akan mula membantunya mencipta gol," katanya.

Ronaldo berpeluang untuk bangkit dalam aksi Juve seterusnya apabila mereka bertandang ke Frosinone bagi aksi Serie A esok.

Dalam masa sama, walaupun kapten Portugal itu tidak melalui permulaan cemerlang bersama juara Serie A itu, seorang lagi rakan sepasukannya, Juan Cuadrado, turut memuji kesan daripada kehadiran bekas tonggak Real Madrid itu.

"Kehadiran Ronaldo memberikan sesuatu kepada kami," ujar Cuadrado.

"Kami tahu siapa dia tetapi Juventus sentiasa berkembang dengan baik.

"Kini, kami mungkin lebih kuat kerana sebahagian daripada kami telah berada di sini dalam tempoh yang lama dan mengenali satu sama lain dengan baik. Mereka juga telah menjadi juara yang hebat.

"Kami berharap dapat melangkah jauh dalam setiap pertandingan," tambahnya.