Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah hakikat yang terpaksa dilalui sesetengah pemain bola sepak yang turut melibatkan pemain kebangsaan.

Jika ada yang melabelkan sisi hitam bola sepak negara hanyalah melibatkan isu terpencil, ia pembohongan yang cuba dimainkan sesetengah pihak demi kepentingan peribadi.

Kebenaran saban hari terpampang menerusi media cetak atau eletronik yang tidak lekang daripada isu gaji tertunggak tatkala janji manis ditabur persatuan bola sepak dan rintihan pemain yang tidak dibayar gaji menjadi perhatian.

Mereka umpama pengemis yang menuntut hak sendiri, mengikat perut untuk sesuap nasi berbanding kehidupan sempurna sebagai pemain bola sepak yang disegani memandangkan kini maruah yang ada seolah-olah direntap tanpa belas kasihan.

Jika bahagian pertama laporan khas ini memaparkan kelibat pemain ternama yang menjadi mangsa, bagaimana pula pemain yang baru menjejak kaki ke dalam 'industri dongeng' ini?

Belum apa-apa lagi, ada yang sudah menerima tempias sehingga membunuh keinginan dan merugikan negara jika pemain terlibat memiliki potensi besar untuk digunakan khidmatnya di pentas tertinggi.

Itu yang berlaku kepada bekas pemain skuad Singa Utara, Nashrul Shazrin Roslan, yang terpaksa berpusing 360 darjah daripada keinginan hakikinya dengan kini kehidupan laut menjadi sumber rezeki anak jati Perlis itu.

Upahnya sekadar RM50 hingga RM70 sehari dan terpaksa membanting tulang bermula jam 11 malam sehingga awal pagi. Namun, demi kelangsungan hidup dan mengisi perut yang berkeroncong, dia terpaksa mengerah kudrat.

"Mula-mula memang segan tetapi apa nak buat? Mengharapkan bola, saya masih menunggu perkembangan gaji. Seluruh pasukan sedang menunggu. Tiada wakil Perlis yang datang jumpa pemain walaupun seorang," katanya.

"Memang berharap terhadap geran itu. Kami sudah buat kerja tetapi majikan tidak membayar."

Nama Hamzah Ahmad bukanlah nama besar untuk saingan Liga Malaysia tetapi pengalaman buruk yang diraih ketika bersama skuad Singa Utara itu mampu membuatkan mana-mana anak muda yang mahu menceburkan diri dalam dunia bola sepak berfikir puluhan kali.

Tiga kali tangguh perkahwinan, Hamzah kini menjalani kehidupan yang tidak pernah dia fikirkan sebelum ini.

Daripada cita cita menggunung menjadi pemain bola sepak disegani, Hamzah kini menyara hidup memotong pokok dengan upah antara RM30 ke RM50 bagi setiap tempahan.

Jika ada tempahan, adalah pendapatan tetapi jika sebaliknya, dia terpaksa mencari sumber rezeki lain seperti menjual air atau apa sahaja.

"Dia tipu kami dengan senang, sungguh tidak sangka. Kami tanya tentang kontrak sejak mula menandatanganinya, kemudian mereka boleh katakan bahawa ia tidak mati setem. Semua orang rasa marah. Apabila ditanya mengenai wang, jawapan diberi hanyalah RM8 juta yang kononnya dimiliki," katanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) harus membuka mata kerana situasi ini tidak pernah berkurang saban tahun.

Jika dibiar, ia akan berterusan menjadi barah tatkala sisi indah bola sepak Malaysia dicanang merata kononnya mampu dijadikan sebuah industri.

"Kalau anda tiada kedudukan kewangan yang kukuh dan hanya ada perancangan, kemudian hanyalah janji oleh pihak penaja tetapi tiada sebarang surat daripada mereka, itu tidak boleh pakai. Perkara ini yang perlu dijaga," ujar Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan.

Kesan besar bukan hanya melibatkan saingan liga domestik tetapi turut melibatkan skuad negara, jadi bagaimana isu ini boleh dianggap sebagai perkara terpinggir?

Hanya FAM dan MFL yang mampu membendung senario ini daripada berterusan andai ada usaha sama telus daripada kedua-dua pihak dengan mengutamakan kepentingan bola sepak negara.