MANCHESTER UNITED 2 DERBY COUNTY 2
(Derby County mara menerusi penentuan penalti 8-7)

Frank Lampard menghantui bekas pengurusnya, Jose Mourinho, dalam aksi Piala Liga Inggeris (EFL) yang menyaksikan Derby County menewaskan Manchester United menerusi penentuan penalti manakala Burton Albion mengatasi Burnley.


Jaringan penyamaan lewat daripada Marouane Fellaini awal pagi tadi mengheret perlawanan ke penentuan penalti selepas seri 2-2 dalam tempoh sebenar permainan di Old Trafford, dengan Scott Carson menyelamatkan tendangan Phil Jones untuk melengkapkan kemenangan dramatik 8-7 pasukan Liga Kejuaraan berkenaan.

Terlebih dahulu, Harry Wilson dan Jack Marriott meletakkan The Rams selesa di hadapan tatkala Lampard menikmati pertemuan dengan Mourinho, bekas pengurusnya di Chelsea.

Sementara itu, seteru United, Manchester City, tidak perlu berhempas-pulas ketika berdepan Oxford United untuk layak ke pusingan keempat dengan kemenangan 3-0.

Phil Foden membekalkan bantuan jaringan kepada Gabriel Jesus dan Riyad Mahrez sebelum meledak gol sulungnya untuk kelab bagi memuktamadkan persembahan memukaunya.

Turut mengiringi United, kejutan besar berlaku di Burton apabila prestasi buruk Burnley dalam kejohanan berterusan di bawah Sean Dyche apabila tumbang 2-1.

Tandukan Kevin Long memberi kelebihan kepada pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, namun Burton kembali bangkit menerusi Liam Boyce sebelum Jamie Allen meledak gol pada lewat permainan.

Penalti diperlukan dalam pertemuan sesama wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) di Molineux, dengan Danny Ward menyelamatkan tiga tendangan penalti selepas seri tanpa gol untuk Leicester City menempah tempat dalam pusingan keempat dengan mengorbankan Wolves.

Sementara itu, Callum Wilson menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94 untuk memastikan kejayaan 3-2 Bournemouth ke atas Blackburn Rovers manakala Andros Townsend meledak dua gol ketika Crystal Palace menang 3-0 di West Brom.

Hatrik Jordan Rhodes memastikan Norwich City terus maju menerusi kemenangan mendebarkan 4-3 di Wycombe Wanderers, dengan Harvey Elliott, 15, membuat kemunculan pertamanya bersama Fulham dengan kemenangan 3-1 di Millwall.

Middlesbrough menjaringkan kesemua empat tendangan penentuan penalti selepas terikat 2-2 dengan Preston North End sementara Blackpool turut layak ke pusingan 16 menerusi kemenangan 2-0 ke atas 10 pemain Queens Park Rangers.