Frank Lampard mahu Chelsea memahami tahap yang diperlukan untuk bersaing dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas daibkan dengan kekalahan 0-3 kepada Bayern Munich awal pagi tadi.

Chelsea tewas kepada juara Bundesliga itu dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Stamford Bridge dengan Serge Gnabry (2) dan Robert Lewandowski muncul penjaring dalam perlawanan itu.

The Blues memberikan ancaman pada beberapa ketika tetapi secara keseluruhan, mereka amat jarang dapat menguji penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, dan kecelaruan Chelsea memuncak apabila Marcos Alonso dilayangkan kad merah selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia melakukan tindakan ganas pada penghujung permainan.

Pengurus Chelsea, Lampard, mengakui dia mempelajari beberapa perkara mengenai pasukannya berdasarkan perlawanan itu dan berkata terdapat beberapa perkara baru yang perlu dipelajari mereka.

"Itulah bola sepak pada tahap ini," katanya dalam sidang media.

"Satu tahap di mana Bayern Munich amat hebat. Mereka pasukan yang amat kuat. Saya menyedari perkara itu.


"Melainkan kami dapat melakukan segala-galanya dengan tepat untuk bersaing, ia pastu menjadi amat sukar.

"Kami tidak dapat melakukan apa-apa untuk bersaing.

"Kami tiada keyakinan untuk mengawal bola, di mana ia merupakan kekecewaan terbesar saya.

"Ia pembelajaran yang perit, satu realiti mengenai tahap di mana kami mahu berada.

"Inilah bola sepak di peringkat Liga Juara-Juara.

"Memandangkan kelab ini sudah lama tidak beraksi di peringkat kalah mati, ini adalah realiti yang perlu ditelan.

"Mereka perlu mengambilnya secara positif.

"Mereka tidak dapat menyedarinya pada petang ini tetapi mereka perlu memahami tahap sebenar Liga Juara-Juara apabila anda disingkirkan di peringkat kalah mati.

"Ramai pemain kami tidak pernah bermain di tahap ini.

"Bermain dalam Liga Europa merupakan sesuatu yang berbeza, mereka sudah terlalu lama tidak bermain di peringkat ini.

"Mereka tidak berada di Chelsea ketika kami mara ke separuh akhir dan final secara berturut-turut.

"Satu-satunya jawapan, sama ada tua atau muda, ialah tidak perlu melihat kepada apa-apa bahagian dalam pasukan ini selain daripada diri anda sendiri.

"Tanyakan, 'siapa yang saya akan lawan, siapa pesaing terdekat saya, apa yang perlu saya lakukan untuk bersaing dengan mereka?'

"Kami perlu berkata bahawa malam ini bukanlah malam di mana kami menunjukkannya dan kami perlu bertanggungjawab," katanya.