Penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette, yakin dia kini berada di tahap terbaik dalam hidup selepas melalui kempen hebat bersama The Gunners.

Bekas bintang Lyon itu menyumbat 19 gol dan membantu 11 jaringan dalam semua kejohanan buat Arsenal hasil gandingannya bersama Pierre-Emerick Aubameyang.

Walaupun dia tidak disenaraikan dalam skuad Perancis yang terbaru, pemain berusia 27 tahun itu percaya dia berada di puncak permainannya musim ini walaupun jumlah gol itu masih kurang satu berbanding musim lalu dan jauh daripada catatan terbaik 28 gol yang diraih ketika saingan 2016-17 dalam saingan Ligue 1.

Bagaimanapun, penggempur Perancis itu masih memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan kelab dan tampil sangat hebat dalam saingan Liga Europa, menjaringkan lima gol dalam sembilan aksi menuju ke final tetapi dia berasakan segala anugerah individu tidak memberi makna jika ia berakhir tanpa trofi.

"Saya telah bermain bola sepak terbaik dalam karier musim ini dan buat Arsenal, bukan disebabkan jumlah gol yang saya jaringkan tetapi permainan saya telah meningkat," kata Lacazette.

"Dapat menyumbang tanpa menghasilkan gol sangat penting buat pasukan. Bagi saya, setakat ini saya menikmati cara kerja sebegini bersama rakan sepasukan kerana saya tahu ia memudahkan mereka.

"Sebelum ini, saya sentiasa belajar bahawa jika anda bekerja buat mereka, anda juga akan meraih perkara sama dan sebab itu saya gembira untuk membantu pasukan.

"Anugerah individu tidak begitu penting. Ia sentiasa menjadi satu penghormatan tetapi ia bukan perkara pertama saya fikirkan apabila bermain bola sepak. Saya mahu memenangi kejuaraan seperti Liga Europa.

"Saya sentiasa melakukan yang terbaik di atas padang walaupun kadangkala tidak begitu bagus, namun mencuba. Saya berjuang untuk kelab, diri sendiri, rakan sepasukan, jurulatih, keluarga dan juga untuk semua.

"Saya hanya mahu menang dan semua orang menyokong saya. Mereka berada di belakang saya dan sudah pasti saya akan berjuang untuk mereka."

Arsenal akan menentang Chelsea di pentas final Liga Europa pada 29 Mei ini.