Steven Gerrard mempunyai kualiti untuk menjadi seorang pengurus terbaik, kata bekas pemain Liverpool, Dirk Kuyt.

Gerrard membuat persediaan untuk melangkah ke dalam bidang pengurusan selepas bersetuju bulan ini untuk mengambil alih tugas sebagai pengendali Rangers.

Bekas kapten England itu akan meninggalkan tugas bersama akademi Liverpool selepas semusim dan mengambil alih tugas di Ibrox secara rasmi pada 1 Jun.

Kuyt, yang bermain selama enam tahun bersama Gerrard, tidak meragui kebolehan Gerrard menghadapi perlawanan sebagai pengurus.

"Gerrard adalah pemain terbaik yang pernah saya beraksi bersama," katanya.

"Banyak perkara yang saya pelajari daripadanya. Saya yakin dia akan menjadi seorang pengendali yang terbaik.

"Di Liverpool, senarai pemain yang akan beraksi untuk perlawanan seterusnya berada dalam bilik persalinan. Ketika itu, hanya 16 pemain yang tersenarai -- kesebelasan utama dan lima pemain gantian.

"Dalam satu perlawanan di mana saya beraksi, saya melihat senarai pemain manakala Gerrard berdiri di sebelah saya.

"Namanya tidak tersenarai dan dia mengambil barangnya dan beredar daripada bilik persalinan.

"Tanpa menunjukkan sebarang emosi dan kemarahan.

"Dia hanya pulang ke rumah sebelum menantikan sesi latihan yang seterusnya. Dia juga mengucapkan tahniah kepada pasukan selepas meraih tiga mata.

"Gerrard berlatih dengan baik dan memberikan tumpuan untuk perlawanan akan datang," katanya.