Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, menyifatkan semua pasukan memerlukan penjaring gol seperti Cristiano Ronaldo selepas penyerang Portugal itu menjaringkan dua gol dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Juventus, awal pagi tadi.

Kroos beraksi ketika Madrid menewaskan Juventus 4-1 dalam pertemuan yang menyaksikan juara Serie A itu beraksi dengan 10 pemain selepas Juan Cuadrado dibuang padang, sekaligus menobatkan Real Madrid sebagai pasukan pertama memenangi UCL untuk dua musim berturut-turut.

Ronaldo menjaringkan lima gol ketika peringkat suku akhir menentang Bayern Munich serta tiga gol ketika bertemu Atletico Madrid dan Kroos menerangkan impak pemain itu kepada pasukan: “Semua orang tahu Ronaldo adalah pemain yang penting.

“Sebagai satu pasukan, kami berjaya bermain dengan baik di peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir dan anda akan memerlukan seseorang yang mampu menjaringkan banyak gol dan itu adalah Ronaldo,” kata Kroos.

"Memenangi tiga UCL dalam dalam masa empat tahun memberikan banyak makna dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

“Juventus adalah sebuah pasukan yang bertahan dengan baik, namun kami mempamerkan kualiti yang kami miliki,” ujar Kroos.