Toni Kroos menyifatkan musim buruk dilalui Real Madrid sebagai perkara normal selepas menjuarai tiga Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut.

Walaupun menjulang trofi Piala Dunia Kelab FIFA, Los Blancos gagal meraih sebarang kejuaraan musim ini tatkala mereka dikendalikan oleh Julen Lopetegui dan Santiago Solari sebelum Zinedine Zidane kembali selaku pengurus sejak kejayaan Liga Juara-Juara musim lalu.

Kekalahan 2-0 di tangan Real Betis pada hari terakhir saingan LaLiga menyaksikan Los Blancos mengakhiri musim ini 19 mata di belakang juara liga, Barcelona, setelah disingkirkan dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara oleh Ajax sambil Barca menewaskan Madrid dalam separuh akhir Piala Raja Sepanyol.

Namun, Kroos yang menandatangani kontrak baru semalam berkata dia tiada masalah untuk terus bersama kelab itu walaupun mereka jelas bergelut musim ini.

"Bagi saya, lanjutan kontrak ini istimewa, ia petanda baik daripada kelab. Saya mempunyai hubungan baik dengan kelab," kata pemain Jerman itu yang bakal kekal di Madrid sehingga 2023.

"Sejak hari pertama menunjukkan keyakinan kepada saya, saya telah membantu pasukan menjuarai banyak trofi. Kami cuba meraih banyak kejayaan bersama. Jika saya meragui masa depan, saya tidak akan berada di sini hari ini.

"Tahun ini, saya tidak rasa mana-mana pemain mencapai tahap terbaik. Apabila ia berlaku terhadap ramai pemain, sukar untuk meraih kejayaan. Kami adalah manusia biasa. Ia mungkin normal setelah menjulang trofi Liga Juara-Juara tiga tahun berturut-turut.

"Tidak normal apabila melakukannya tiga tahun berturut-turut. Saya fikir ia mustahil tetapi kami melakukannya. Jadi, adalah normal apabila tidak berada di tahap terbaik.

"Kelab akan mengubah banyak perkara, saya gembira di sini untuk empat tahun lagi dan pasti kami akan meraih kejayaan bersama.

"Apabila saya menonton separuh akhir Liga Juara-Juara, banyak kelab England yang memberikan segalanya untuk ke final. Anda boleh lihat betapa sukarnya untuk kejohanan ini tiga tahun berturut-turut.

"Apa yang boleh kami lakukan adalah mempersiapkan diri untuk musim depan, kemudian lihat apa berlaku. Saya tetap gembira, bukan hanya dengan apa yang kami raih tetapi berbesar hati untuk membuktikan semula apa yang kami boleh lakukan."

Walaupun menikmati kejayaan di pentas Eropah, Kroos hanya menjulang trofi liga sekali sejak berada di Santiago Bernabeu.

Sewaktu menjelaskan kesukaran itu, dia menambah: "Kami kekurangan keyakinan di pentas liga dalam beberapa tahun terakhir.

"Sebelum ini, kami berada di tahap maksimum apabila perlu. Untuk melakukannya dalam 38 perlawanan, memang sukar. Kami harus meningkatkan banyak perkara."