Nico Kovac memuji disiplin pertahanan Bayern Munich ketika pasukannya itu mengikat Liverpool 0-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi, namun enggan meraikan kejayaan taktikalnya itu memandangkan ia baru separuh jalan.

Juara Bundesliga itu meninggalkan Anfield sebagai pasukan yang lebih gembira dengan keputusan seri itu yang akan membantu mereka dalam aksi timbal balik di Arena Allianz, 13 Mac depan.

Walaupun mereka gagal memberikan ancaman dan menembusi pertahanan Liverpool, Bayern, yang tidak tewas dalam lima daripada enam perlawanan terakhir mereka sejak waktu rehat pertengahan musim, berpeluang lebih cerah untuk menyingkirkan lawan daripada Liga Perdana Inggeris itu.

Kovac memuji aksi yang dipamer pasukannya, namun memberikan amaran agar mereka tidak melihat situasi itu sebagai kejayaan.

"Ia separuh penuh dan separuh kosong. Saya tidak dapat ingat berapa pasukan yang berjaya untuk tidak dibolosi di Anfield.

"Berdasarkan corak permainan Liverpool, mereka adalah pasukan yang hebat.

"Pasukan saya bertahan dengan amat kukuh dan bermain pada tahap tertinggi secara taktikal dan mental.

"Kami tidak menjaringkan gol tetapi kami juga tidak dibolosi.

"Kami akan beraksi di depan 75,000 penyokong sendiri selepas ini.

"Kami sedar jika kami bolos, kami perlu memenangi perlawanan itu.

"Pada tahap ini, setiap perbezaan kecil akan menentukan segala-galanya.

"Kami akan menantikan dan melihatnya nanti.

"Saya pernah katakan sebelum ini, kami beraksi dengan baik menentang lawan terbaik.

"Mereka adalah finalis musim lalu dan mereka beraksi hebat hari ini. Tiada apa untuk kami sembunyikan.

"Kami mempunyai kualiti seperti yang kami tunjukkan dalam tahun-tahun sebelum ini.

"Namun, kami belum memenangi apa-apa.

"Saya adalah orang terakhir yang akan meraikan kejayaan ini.

"Kami mahu bersederhana, fokus dan memberikan 100 peratus dalam perlawanan akan datang," katanya.