Kovac tidak berminat layan spekulasi masa depan Bayern 

Oleh Staff Writer 17 Mei 2019 243
Kovac tidak berminat layan spekulasi masa depan Bayern 
Niko Kovac tidak berminat untuk mengulas spekulasi bahawa dia berdepan pemecatan Bayern Munich seandainya mereka gagal mempertahankan gelaran Bundesliga.

Bayern wajib menang di kelab lama Kovac, Eintracht Frankfurt, esok untuk memastikan mereka tidak dipintas Borussia Dortmund.

Mereka berpeluang untuk melengkapkan dua kejuaraan domestik apabila Kovac akan mengetuai Bayern untuk perebutan DFB-Pokal dalam pertembungan dengan RB Leipzig, minggu depan. 

Sekiranya Bayern gagal mengakhiri kempen musim ini dengan dua trofi, laporan mendakwa bahawa jawatan Kovac bakal terjejas hujung minggu ini.

Pengurus Ajax, Erik ten Hag, yang pernah melatih pasukan simpanan Bayern, merupakan antara calon pengganti kepada Kovac. 

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia tersebut mengabaikan spekulasi mengenai masa depannya menjelang penampilan terakhir Arjen Robben, Rafinha dan Franck Ribery di kelab itu. 

"Saya tidak berminat untuk mengulas isu sampingan seperti itu," kata Kovac kepada wartawan, semalam, apabila ditanya tentang khabar angin dia mungkin dipecat.

"Kami masih mempunyai dua tugas untuk diberikan tumpuan. Kami berpeluang untuk muncul juara. Fokus kami bukan tentang perkara seperti itu, saya tidak berminat.

"Kontrak saya masih berbaki dua tahun lagi dan saya mahu menghabiskan tempoh itu. Kami telah berkembang dengan baik dan kami hanya kalah dua kali selepas bertemu Dusseldorf."

Dengan begitu banyak faktor dipertaruhkan, Robben, Ribery dan Rafinha berpeluang membuat perpisahan sempurna dengan mengesahkan gelaran liga di hadapan peminat sendiri.

Namun, Kovac enggan mendedahkan sama ada dia akan menurunkan trio tersebut sementara James Rodriguez dan kapten, Manuel Neuer, diketepikan akibat kecederaan.

"Kami tidak perlu menjelaskan lagi tentang trio tersebut, mereka telah memberikan sumbangan besar kepada kelab ini," tambah Kovac.

"Saya tidak akan memberitahu anda siapakah yang akan bermain, kami mahu peminat berasa teruja. Ini adalah perlawanan terakhir, saya yakin kami akan mempunyai motivasi tambahan. 

"Esok, Javi Martinez akan menyambung latihan. Joshua Kimmich pula hanya menjalani latihan ringan hari ini tetapi semuanya dalam keadaan baik-baik saja.

"Proses pemulihan Thiago Alcantara juga berjalan lancar dan dia telah mengambil bahagian dalam beberapa sesi latihan semalam.

"Manuel Neuer semakin pulih tetapi dia tidak akan beraksi pada hujung minggu ini," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen