RB LEIPZIG 1 BAYERN MUNICH 1

Ketua jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac, mahu pasukannya lebih kejam selepas terikat 1-1 dengan RB Leipzig dalam perlawanan Bundesliga di Arena Red Bull, awal pagi tadi.


Emil Forsberg menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti selepas Robert Lewandowski menjaringkan golnya yang ke-199 buat Bayern.

Pasukan itu kini menduduki tangga ketiga Bundesliga dengan hanya ketinggalan dua mata di belakang Leipzig.

"Kami perlu memanfaatkan kelebihan kami.

"Pada akhirnya, keputusan ini amat menjengkelkan.

"Kami memiliki lebih banyak peluang, bermain dengan baik tetapi malangnya keciciran dua mata daripada apa yang dirancangkan.

"Kami beraksi dengan amat baik dalam babak pertama, yang merupakan persembahan terbaik kami setakat ini.

"Selepas itu, kami sendiri mencipta masalah.

"Kami mahu memandang positif perlawanan ini -- kami beraksi dengan amat baik," katanya.

Penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, kecewa dengan reaksi rakan sepasukannya selepas gol penyamaan Forsberg.

"Keputusan 1-1 sedikit mengecewakan kami kerana kami pasukan yang lebih baik.

"Kami tidak dapat bangkit daripada situasi itu, kami perlu mengenal pasti perkara baik dan menganalisis setiap perkara buruk dengan sebaik-baiknya," katanya.

Forsberg berkata tiada sesiapa di Leipzig berpuas hati dengan permulaan cemerlang mereka musim ini.

"Kami sedang berkembang, namun untuk menjadi pendahulu liga selepas empat perlawanan adalah sesuatu yang baik.

"Dalam babak pertama, kami banyak melakukan larian tetapi tidak banyak menguasai permainan.

"Bayern memaparkan aksi yang sangat kukuh.

"Dalam babak kedua, kami beraksi dengan lebih baik dan dapat mengaplikasikan permainan kami di atas padang," katanya.