Niko Kovac berasakan Bayern Munich kendaliannya sudah tertumpu kepada kunjungan ke Liverpool ketika melakar kemenangan ke atas Augsburg 3-2 dalam aksi Bundesliga awal pagi tadi, namun memahami gangguan seperti itu.

Bayern dua kali bangkit daripada ketinggalan di Augsburg selepas bolos seawal 13 saat permainan kepada gol sendiri Leon Goretzka.

Kingsley Coman dua kali menjaringkan gol penyamaan di samping mencipta bantuan jaringan untuk gol kemenangan oleh David Alaba walaupun pemain sayap itu tidak dapat menamatkan permainan gara-gara kecederaan buku lali.

Kemenangan itu meletakkan Bayern ketinggalan hanya dua mata kepada pendahulu liga, Borussia Dortmund, yang bakal berdepan Nurnberg pada Isnin ini.

Bayern sedang membina momentum dan mengenakan tekanan kepada Dortmund tetapi Kovac berasakan pasukannya tidak memiliki sepenuh tumpuan terhadap Augsburg, dengan ternanti-nantikan pertemuan pusingan 16 Liga Juara-Juara di Liverpool, Selasa ini.

"Kami bergelut dalam perlawanan ini. Saya tidak ingat pernah bolos seawal ini. Ia benar-benar menyakitkan hati," kata Kovac kepada wartawan.

"Tetapi kami bangkit memberi saingan, terutama dalam separuh masa pertama, tapi ia lebih jelas dalam separuh masa kedua.

"Mungkin sesetengah daripada kami sudah pun memikirkan Liverpool. Itu tidak bagus, namun tidak dapat dielakkan.”

Augsburg boleh mengambil beberapa perkara positif daripada prestasi bersemangat mereka, diketuai oleh bek kiri, Philipp Max, yang mencipta dua jaringan pasukannya.

Namun, di sebalik pengendali pasukan, Manuel Baum, memuji persembahan Augsburg ketika tewas kepada juara Bundesliga itu, kekalahan kelima mereka daripada enam perlawanan tidak banyak membantu mempermudah perjuangan mereka mengelak penyingkiran.

"Pada penghujungnya, kami tidak meraih sebarang mata dalam perlawanan ini," kata Baum.
"Tetapi perkara utama adalah kesemua pemain telah memberikan yang terbaik.

"Kami memiliki sebuah pasukan yang muda, mereka mencuba segala-galanya dan menekan Bayern sehebat yang terdaya.”