Korea Selatan berharap dapat menyembunyikan taktik mereka dan mengelak kejutan Sweden dengan menukar nombor jersi semasa sesi latihan dan perlawanan persahabatan baru-baru ini, kata jurulatih, Shin Tae-yong.

Anak buah Shin akan memulakan kempen Piala Dunia di Nizhny Novgorod esok dalam apa yang digambarkan sebagai aksi wajib menang manakala Mexico dan Jerman turut berada dalam Kumpulan F.

Pemain-pemain Korea dilihat mengenakan nombor yang berbeza semasa persiapan akhir ke Russia dan Shin menjelaskan ia adalah satu tindakan yang disengajakan bagi mengelirukan peninjau Sweden.

"Pada pandangan saya, ia tentang cara Eropah melihat pemain Asia, mungkin ia salah satu sebabnya," katanya dalam sidang akhbar. "Saya fikir kami mahu mengelirukan Sweden, sebab itulah kami melakukannya."

Ditanya mengenai penjelasannya, dia berkata: "Kami bertukar-tukar nombor jersi kerana kami tidak mahu mendedahkan apa-apa kepada pihak lawan. Ki Sung-yueng mungkin dikenali seperti mana Son Heung-min tetapi untuk pemain lain mungkin sedikit mengelirukan.

"Sangat sukar bagi orang Barat membezakan orang Asia dan itulah sebabnya kami melakukannya."

Sweden dituduh menghantar pasukan pengintip bagi meninjau persiapan akhir Korea semasa sesi latihan tertutup selain mengadu bahawa pangkalan latihan mereka terlalu terdedah untuk diintip.

Shin, bagaimanapun, berpendapat sebarang analisis terperinci sudah dijangkakan dalam kejohanan besar.

"Saya fikir semua jurulatih mungkin berasa seperti itu, iaitu pasukan lain mengintip mereka," katanya.

"Kami perlu menganalisis pasukan lain dan kami melakukan apa yang termampu untuk memenangi perlawanan, jadi saya fikir ia adalah tindakan semulajadi bagi kami untuk cuba memahami pasukan lain."

Sweden akan beraksi tanpa Zlatan Ibrahimovic dalam kejohanan besar buat pertama kalinya sejak Euro 2000, dengan penjaring terbanyak mereka itu telah bersara daripada bola sepak antarabangsa, begitupun Shin tidak berasakan mereka akan menjadi lebih lemah di bahagian serangan.

"Sekiranya dia menjadi sebahagian daripada pasukan, mereka mungkin dapat menjaringkan banyak gol tetapi mereka layak tanpanya (Ibrahimovic)," tambah Shin.

"Tanpa Ibrahimovic, mereka mampu bekerja lebih kuat sebagai sebuah pasukan."