Penyerang baru The Red Warriors (TRW), Fauzi Roslan, mahu mengembalikan sentuhan penyudahnya bagi membantu menjulang semula kehebatan Kelantan dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Fauzi. atau dikenali sebagai Kojie, berjaya memikat hati Pengarah Teknikal Kelantan, Jorg Peter Steinebrunner, dalam sesi pemilihan terbuka.

Bekas penyerang Melaka United dan Pahang itu lantas tidak berfikir panjang membulatkan tekad untuk membantu TRW menjadi pencabar terkuat dalam Liga Malaysia (Liga-M).

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemain Kelantan. Mereka menerima saya dengan tangan terbuka.

"Saya ingin menggilap semula karier bersama Kelantan dan yakin mampu melakukannya dengan sokongan semua pihak.

"Lebih daripada itu, saya juga ingin membalas jasa KAFA dan peminat TRW dengan berusaha gigih menjadi peledak berbisa musim ini," ujarnya.

Kojie, yang memiliki pengalaman luas dalam Liga Malaysia, yakin mampu membentuk gandingan mantap bersama penyerang import yang sedang diburu oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Saya bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai penyerang utama TRW dan dalam masa yang sama membimbing pemain muda Kelantan mengharungi cabaran getir dalam saingan Liga Perdana," katanya.

Kojie juga mengajak penyokong setia TRW untuk turun padang memberi sokongan kepada skuad muda Kelantan.

"Teruskan memberi sokongan dan kami berjanji akan memberikan yang terbaik demi memenuhi impian kembali ke Liga Super, tahun depan," ujarnya.