Pengendali Belanda, Ronald Koeman, mengecam kecuaian pasukan bimbingannya itu walaupun menundukkan Belarus 4-0 dalam aksi pembukaan kelayakan Euro 2020, namun teruja melihat prestasi yang ditampilkan Memphis Depay.

Belanda, yang tidak berdepan masalah untuk membenam pelawat di Rotterdam, hanya memerlukan 50 saat bagi meraih pendahuluan apabila Depay menggunakan kesempatan hasil kesilapan benteng lawan sebelum menyumbat gol dari sudut sukar.

Depay kemudian membuka ruang untuk Georginio Wijnaldum menambah gol sebelum menyempurnakan sepakan penalti yang diraih oleh pemain tengah Liverpool itu.

Rakan sepasukan Wijnaldum di Anfield, Virgil Van Dijk, melengkapkan kemenangan 4-0 dalam Kumpulan C apabila menyempurnakan hantaran Depay tetapi Koeman tidak gembira dengan prestasi pasukan, terutama ketika dalam tempoh mendahului 2-0 pada minit ke-21 dan dalam babak pertama.

"Kami agak cuai," kata Koeman.

"Saya fikir ia adalah sesuatu yang tidak bersemangat. Saya lihat banyak hantaran ke belakang sejak beberapa tahun terakhir bergelar pengurus. Namun, di penghujung babak pertama serta babak kedua, ia mula menjadi baik.

"Selepas mendahului 1-0, anda perlu berdisiplin. Kami tidak mengawalnya. Malah, kami banyak menyekat percubaan di kawasan sendiri.

"Mendahului 1-0 di awal permainan adalah sesuatu yang bagus tetapi anda perlu beraksi seperti dalam babak kedua.

"Anda harus fikir: 'Kini 2-0 dan kami akan memenanginya dengan mudah'. Perkara itu juga perlu diperbaiki demi pembangunan pasukan ini," katanya lagi.

Koeman juga memuji kelibat Depay yang terus menyinar di peringkat antarabangsa walaupun melalui musim suram bersama Lyon.

"Saya sentiasa melihat dia sebagai pemain hebat," tambah Koeman.

"Mungkin dia agak merudum di peringkat kelab tetapi jika berasa bebas dan yakin, banyak perkara boleh dilakukan.

"Depay adalah pemain penting kami. Dia telah membuktikannya dalam saingan kali ini."