Koeman jawab spekulasi ke Barcelona 

Oleh Staff Writer 6 Disember 2019 138
Koeman jawab spekulasi ke Barcelona 
Pengurus Belanda, Ronald Koeman, menolak spekulasi yang mengaitkannya dengan gergasi LaLiga, Barcelona.

Koeman muncul sebagai pilihan yang berpotensi buat Barca sekiranya Ernesto Valverde meninggalkan kerusi panas itu, dengan kontrak pengurus tersebut bersama Belanda mempunyai klausa yang membolehkannya ke Camp Nou selepas Euro 2020.

Pengurus berusia 56 tahun itu mengharungi tempoh selama enam tahun di Barca sebagai pemain sebelum kemudian muncul sebagai pembantu kepada Louis van Gaal dari tahun 1998 sehingga 2000.

Koeman, bagaimanapun, mahu memberi tumpuan kepada tugasannya bersama Belanda menjelang kempen Kejohanan Euro, tahun depan.

"Saya mempunyai baki kontrak selama dua tahun lagi bersama pasukan kebangsaan (Belanda) dan saya tidak suka bercakap tentang Barcelona," kata Koeman dalam satu majlis di Barcelona.

"Ia tidak selesa atas banyak sebab, saya kini mempunyai tugasan dan adalah tidak adil untuk membincangkannya.

"Jika tawaran itu hadir, ia akan berlaku dan jika tidak, maka ia tidak akan berlaku. Ada perkara yang lebih penting (perlu dikhuatiri) dalam hidup ini."

Belanda diundi dalam Kumpulan C, Euro 2020 di samping Ukraine, Austria dan pemenang play-off. 

Pasukan bimbingan Koeman itu akan membuka kempen mereka berdepan Ukraine di Amsterdam pada 14 Jun.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen