Jurgen Klopp bersikap lebih tenang menjelang penampilan final Liga Juara-Juara (UCL) pertamanya bersama Liverpool untuk berdepan Real Madrid di Kiev, awal pagi esok.

Klopp bertanggungjawab ketika Borussia Dortmund tumpas 1-2 kepada Bayern Munich di Wembley pada 2013 dan mengakui tidak menyangka berpeluang untuk kembali ke final.

"Saya yakin saya lebih teruja ketika itu," katanya. "Banyak perkara yang baik telah berlaku kepada saya, saya tidak pernah menjangkakan perkara-perkara baik ini akan berlaku kepada saya. Mungkin seumur hidup saya, peluang ini akan datang sekali sahaja -- itulah yang dirasakan semasa di Dortmund.

"Kami menonjolkan permainan hebat ketika menentang pasukan mantap dan selepas perlawanan itu, saya sedar saya mendambakan peluang ini sekali lagi.

"Ia mengambil sedikit masa, bagaimanapun saya di sini kerana anak buah saya memberikan saya peluang itu lagi.

"Saya sangat gembira dapat berada di sini bersama kumpulan pemain ini, mereka berjuang keras untuk ini dan mereka patut berada di sini."

Klopp tidak meragui tentang apa yang telah mendorong pasukannya atas kejayaan yang tidak dijangka di peringkat Eropah musim ini apabila berpeluang memburu mahkota Eropah keenam dengan menentang pasukan Madrid yang mengimpikan kejuaraan ketiganya berturut-turut.

"Semangat, 100 peratus. Semangat yang kami bentuk pada musim ini," katanya. "Sembilan bulan lalu, kami sudah menjadi pasukan bola sepak yang baik manakala barisan pemain sudah bersedia untuk perkara-perkara besar.

"Kami mungkin bermimpi untuk berada dalam final ini, namun segalanya mungkin disebabkan persembahan kami.

"Anda melihat semangat kami dalam beberapa perlawanan terakhir dan itulah sebabnya mengapa kami berhak berada di sini.

"Kami melakukan tugas dengan cemerlang tetapi mesej utamanya (menjelang perlawanan akhir ini) adalah semua perkara yang telah kami kerjakan sejak kami dibentuk bersama akan digunakan dalam permainan esok. Ia mengenai bola sepak.

"Kebanyakan (pemain) akan menjadi agak gugup. Laksanakan apa yang terbaik: bermain bola sepak, berjuang dengan rakan sepasukan, melancarkan percubaan, tandukan ataupun sepakan gunting jika anda inginkan, tetapi ia hanya mengenai permainan bola sepak," hujahnya.