Jurgen Klopp menyalahkan hantaran akhir Liverpol ketika pasukannya terikat 0-0 dengan Bayern Munich dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Anfield, awal pagi tadi.

Wakil Liga Perdana Inggeris itu kurang kemas di bahagian serangan sehingga gagal meraih sebarang jaringan di laman sendiri.

Klopp kecewa dengan corak serangan pasukannya dengan menyatakan cara mereka melakukan hantaran menyekat peluang dan mendedahkan kelemahan pertahanan mereka.

"Masalah kami adalah kami berdepan lawan berkualiti dan hantaran terakhir kami benar-benar menyukarkan keadaan," katanya dalam sidang media.

"Kami memperoleh 10 hingga 12 situasi di mana segala-galanya telah tersedia, segala-galanya telah terhidang dan kemudian kami melakukan hantaran yang kurang baik atau melepaskan peluang begitu sahaja.

"Ia memberikan kami masalah. Kami tidak mencipta peluang dan memberikan mereka peluang untuk melakukan serangan balas.

"Situasi itu pasti membuatkan Bayern berasakan mereka lebih baik berbanding kami, namun kami masih ada tiga minggu dan dari hari ke hari, keputusan itu akan menjadi lebih baik buat kami dan lebih buruk buat Bayern.

"Ia 0-0, keputusan seri terbaik yang kami boleh dapat.

"Ia pasti sukar untuk beraksi di laman Bayern.

"Jika kami menang 1-0 malam ini, apakah yang akan berubah?

"Keputusan 0-0 itu juga sudah cukup bagus.

"Ia tidak sempurna tetapi cukup bagus untuk kami lebih berusaha," katanya.

Sadio Mane dan Mohamed Salah terlepas peluang berharga buat Liverpool, yang beraksi buat kali pertama sejak 9 Februari lalu.

Namun, bagi Klopp, yang pasukannya akan bertandang ke Manchester United hujung minggu ini, dia enggan menggunakan waktu rehat itu sebagai alasan.

"Tentang waktu rehat 10 hari itu? Apa kaitan ia dengan hantaran akhir kami? Anda perlu menyaksikan perlawanan itu dan bertanyakan soalan mengenai perlawanan itu dan bukannya mengenai waktu rehat 10 hari.

"Saya tidak dapat jawapan mengapa kami gagal melakukan hantaran akhir dengan baik. Ketepatan itu tidak dapat membantu kami melakukan hantaran akhir.

"Ia tentang berada pada waktu yang sesuai dan melakukan langkah yang tepat.

"Anda dapat lihat situasi itu, ia tiada kaitan dengan waktu rehat 10 hari.

"Kami tidak dapat mengubahnya.

"Kami memperoleh waktu rehat 10 hari dan sekarang kami tidak dapat berehat lagi.

"Jika benar ia adalah masalah kami, maka kami tidak akan berdepan masalah itu lagi memandangkan kami akan beraksi setiap tiga hari," tambahnya.