Jurgen Klopp mengatasi Pep Guardiola dan Mauricio Pochettino untuk memenangi anugerah Jurulatih Terbaik FIFA.

Pengurus Liverpool itu dinamakan selaku pemenang dalam majlis gala Anugerah Best FIFA di Milan, awal pagi tadi selepas mengemudi The Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu.

Anak buah Klopp menundukkan Tottenham Hotspur bimbingan Pochettino 2-0 dalam aksi final di Madrid, 1 Jun lalu untuk bergelar juara buat kali keenam.

Bagaimanapun, Liverpool terlepas peluang untuk menamatkan penantian kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak 1990 selepas dibezakan satu mata dengan Manchester City walaupun mencatat kutipan mata tertinggi untuk pasukan kedua dalam sejarah kejohanan.

Klopp menerima anugerah itu mengatasi Pochettino yang membawa Spurs mara ke final buat julung kali dan Guardiola yang meraih tiga kejuaraan bersama City.

Didier Deschamps meraih gelaran itu musim lalu selepas mengemudi Perancis menjulang trofi Piala Dunia di Russia.

Bercakap ketika majlis di Milan itu, Klopp mengesahkan telah menyertai badan kebajikan Common Goal yang dilancarkan hasil sokongan bintang Manchester United, Juan Mata.

Komuniti itu menarik perhatian beberapa nama dalam dunia bola sepak untuk mendermakan sekurang-kurangnya satu peratus daripada gaji.