Jurgen Klopp bergurau dengan memberitahu Liverpool supaya berlatih berbogel sebelum aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Manchester City kerana semua orang tertumpu kepada bintang, Mohamed Salah.

Salah menikmati kempen hebat dalam penampilan pertamanya di Anfield dengan membantu Liverpool mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan menjaringkan 40 gol dalam semua pertandingan sejak tiba daripada pesaing Eropah, Roma.

Daripada jumlah koleksi itu, 30 gol hadir dalam Liga Perdana Inggeris apabila pemain kelahiran Mesir itu mendahului senarai perlumbaan Kasut Emas.

Bercakap tentang keterujaan ramai terhadap Salah yang menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas City di Stadium Etihad minggu lalu, pengurus kelahiran Jerman, Klopp, mendedahkan apa yang dikatakannya kepada pemainnya.

"Mereka adalah kumpulan yang sangat baik dan, dengan Mo, semua orang benar-benar memberi tumpuan ke arahnya," kata Klopp. "Ketika kami keluar berlatih untuk Liga Juara-Juara menentang Man City, saya berkata 'Jom semua, mari keluar berbogel kerana tiada siapa yang sedar -- mereka hanya melihat Mo.'

"Sekarang kami pergi ke Roma (Rabu depan untuk perlawanan separuh akhir menentang Roma). Saya tidak fikir tumpuannya akan kurang. Tetapi semuanya baik-baik saja. Mereka mencipta suasana ini dalam pasukan. Sebagai pasukan berjaya, selalu ada suasana yang baik. Pasukan lain boleh memiliki pemain sangat baik tetapi bukan kumpulan. "

Klopp menambah: "Begitu banyak perkara positif -- kami adalah satu pasukan.

"Kami mempunyai peluang besar di sini bagi mencipta sesuatu untuk masa depan. Kami masih muda dan berpotensi. Bagi saya, mereka semua teruja berada di dalam kumpulan ini."