Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dikhabarkan sedang mempertimbangkan untuk mencalonkan calon lain selain Datuk Hamidin Mohd Amin selaku presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang pemilihan kongres persatuan itu pada 11 Julai depan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa, menjelaskan sukar untuk memberi kepastian sama ada persatuan itu akan mencalonkan nama lain selain Hamidin.

Namun, KLFA adalah antara ahli gabungan yang setakat ini masih belum menamakan calon mereka untuk kerusi tertinggi FAM itu.

"Kami masih belum membuat keputusan dan akan memutuskannya pada Jumaat akan datang. Jadi, saya tidak boleh memberikan kenyataan.

"Kami belum pasti dengan situasi itu. Mungkin akan ada calon lain dan mungkin juga tiada," ujarnya.

Dalam masa sama, Nokman mengakui pucuk pimpinan KLFA akan mengadakan mesyuarat bagi mencapai kata putus mengenai pendirian persatuan itu untuk pencalonan presiden FAM sebelum tarikh tutup penamaan calon pada Jumaat ini.

"Tempoh terakhir untuk memberi jawapan adalah pada Jumaat ini jam 5 petang, jadi saya tidak boleh memberikan sebarang komen. Esok akan ada perbincangan seterusnya," tambahnya.

Sebelum ini, mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mencadangkan nama Hamidin sebagai calon pengganti dan ia disambut baik sebahagian besar ahli gabungan persatuan.