Pengalaman mewakili Hong Kong dalam Liga Juara-juara Asia (ACL) meyakinkan ketua jurulatih Kitchee SC, Alex Chu Chi Kwong, terhadap keupayaan pasukannya untuk melepasi halangan Perak dalam pusingan kelayakan di Stadium Perak malam esok.

Bercakap dalam sidang akhbar di Stadium Perak sebentar tadi, Alex bernada yakin mereka boleh meneruskan kemaraan ke perlawanan kedua bertemu wakil Korea Selatan.

"Kami datang dengan hasrat memenangi perlawanan ini bagi menempah pertemuan dengan kelab Korea Selatan dan seterusnya layak ke ACL kali ini," katanya

Sehubungan itu, jurulatih berkenaan yang mengemudi pasukan itu muncul juara Liga Hong Kong tahun lalu membawa pasukan terbaik ke Ipoh.

"Saya memiliki kesebelasan utama, termasuk ayam tambatan dan penyerang utama, Lucas Espindola da Silva.

"Dia adalah penjaring terbanyak kami musim lalu dan sehingga kini masih berbisa dengan lapan gol," ujarnya.

Begitupun, Alex yang sudah 10 tahun bersama pasukan Kitchee, termasuk menjadi penolong jurulatih, tetap menghormati anak buah Mehmet Durakovic.

"Perak sebuah pasukan yang kuat. Mereka memiliki khidmat pemain import berwibawa," tambah Alex.

"Saya berkesempatan menyaksikan Perak beraksi Jumaat lalu.

"Pemain nombor 9 (Gilmar Jose Da Silva) sangat berbahaya."

Justeru, Alex menjangka laluan sukar menanti Kitchee malam esok dan berharap mereka mampu melepasi halangan Perak.

Sementara itu, Da Silva berharap mampu membantu kejayaan Kitchee malam esok.

"Matlamat utama ialah untuk melihat kami meneruskan kemaraan ke ACL sebenar," kata penyerang berusia 28 tahun dari Brazil itu.