Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, yakin pengalaman yang dimiliki Brad Maloney mampu membantunya meneruskan tugasan yang ditinggalkan Bojan Hodak dalam skuad B-19 negara.

Maloney dipilih sebagai pengendali sementara skuad B-19 selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak memperbaharui kontrak Hodak.

Pengalamannya sebagai bekas pemain kebangsaan Australia dan penolong jurulatih skuad B-23 negara sejak lima tahun lalu, meyakinkan Kim Swee bahawa pengendali baru itu mampu mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, bulan depan.

"Dia merupakan bekas pemain kebangsaan Australia.

"Dengan pengalamannya selaku pemain dan ketika bersama saya dalam beberapa kejohanan antarabangsa, dia pasti akan memberi sumbangan yang baik buat skuad B-19," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih berkenaan mahu pemain negara menumpukan sepenuhnya terhadap pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 sebelum menyertai Sukan SEA Filipina, November depan.

"Sudah tentu pasukan (senior) kebangsaan memiliki kepentingan yang lebih besar.

"Tetapi selepas mereka habis pusingan kelayakan, mereka perlu bersama dengan skuad B-23 dan berlepas ke Manila pada 23 November depan," tambahnya.