Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, menutup kontroversi membabitkan Terengganu FC (TFC) II apabila menegaskan selesa dengan 23 pemain yang sudah melapor diri untuk kem persiapan Piala AFF B-23 di Kemboja.

Kim Swee semalam membangkitkan rasa kurang senang apabila permohonan untuk menyenaraikan khidmat pemain TFC II, Ridzuan Razali, tidak mendapat maklum balas pengurusan pasukan itu.

Terkini, TFC II sedia melepaskan Ridzuan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenal pasti faktor komunikasi sebagai punca kepada salah faham itu.

Pengendali kebangsaan itu, bagaimanapun, menegaskan tidak lagi memerlukan khidmat Ridzuan atas kekangan masa.

"Saya tidak terkilan atau tawar hati bagi mendapatkan khidmat Ridzuan kerana kami hanya mempunyai tempoh dua hari untuk berlatih sebelum berlepas ke Kemboja," kata Kim Swee.

Persiapan sederhana skuad negara menghadapi Piala AFF B-23 tahun itu diteruskan dengan perlawanan persahabatan menentang MK Land, Khamis ini, sebelum mereka berlepas ke Kemboja keesokannya.

"Saingan Liga Super dan Liga Perdana telah bermula dan terdapat beberapa pemain yang tidak dapat bersama kami. MK Land mampu menjadi sesi pemanas buat pasukan bagi menghadapi Piala AFF B-23."