Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menyedari beliau tiada alasan lagi untuk gagal menyempurnakan misi negara dalam Kejohanan AFC B-23.

Kim Swee memiliki keempat-empat nama penting, antaranya Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syahmi Safari dan Syamil Kutty Abba untuk membentuk skuad terbaiknya hujung bulan depan.

Atas dasar mencari ruang ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, empat nama itu terkecuali daripada menyertai Piala Airmarine bersama skuad senior.

Kim Swee sudah tidak memiliki sebarang alasan lagi.

"Kami tidak boleh mengambil mudah kejohanan ini. Kami harus melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi Kejohanan AFC B-23 dan mengharapkan kesemua pemain melapor diri 10 hari sebelum perlawanan pertama kami," katanya.

Kim Swee memiliki tempoh 10 hari untuk mempersiapkan pasukan manakala barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya akan melapor diri selepas aksi pertama mereka dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), 12 Mac ini.

"Pemain-pemain JDT akan melaporkan diri bersama pasukan 13 Mac ini kerana mereka perlu beraksi dalam ACL terlebih dahulu."

Malaysia memerlukan kedudukan dua terbaik untuk layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik yang akan berlangsung Januari tahun depan.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagobal, menganggap persefahaman yang diambil melibatkan jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, dan Kim Swee adalah tepat.

Dalam masa sama, skuad B-23 juga memiliki peluang untuk mencetak kemaraan ke peringkat seterusnya merujuk kepada tiga pasukan yang bakal ditempuh skuad negara, iaitu Filipina, China dan Kemboja.

"Perbincangan yang telah dilakukan berjaya mencapai persetujuan bagi memberikan keutamaan buat kedua-dua pasukan," kata Rajagobal.