Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, tiada jalan lain selain mencari pengganti untuk mengisi posisi bek-kanan setelah Selangor enggan melepaskan tonggak mereka, Syahmi Safari, untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

Kim Swee mengakui kecewa, namun dia masih optimis dengan baki 25 pemain yang bakal menyertai kem latihan pusat hujung minggu ini untuk menghadapi saingan Piala AFF B-22 di Kemboja.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi jurulatihnya, B. Sathianathan, menyuarakan keberatan untuk melepaskan pemain itu yang sahaja pulih daripada kecederaan hamstring selain diperlukan untuk menghadapi saingan Liga Super.

Syahmi merupakan sebahagian 11 pemain baru untuk bersama skuad kali ini yang juga akan dipersiapkan untuk menghadapi saingan kelayakan Piala Asia B-23 bulan depan.

"Ketiadaan Syahmi sudah tentu akan memberi impak tetapi ia memberikan peluang kepada saya untuk menilai baki pemain yang masih bersama pasukan," kata Kim Swee.

Daripada senarai pemain sedia ada, hanya 23 terbaik akan dibawa menggalas cabaran negara di Phnom Penh, 17 Februari ini.

Malaysia diletakkan sekumpulan dengan tuan rumah, Kemboja, di samping Indonesia dan Myanmar.

"Saya akan berusaha mendapatkan satu lagi perlawanan sebelum berlepas ke Phom Penh tetapi saya menyedari kesukaran untuk membariskan pemain ketika saingan Liga Malaysia sudah bermula," katanya lagi.