Tidak ada sebarang kekesalan daripada pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, susulan penyingkiran awal daripada Kejohanan AFF B-22 2019 ketika fokus kini beralih ke tugasan lebih penting.

Daripada terus memikirkan kemungkinan nasib berbeza jika pemain lebih berkualiti berada dalam skuad untuk kejohanan di Kemboja itu, Kim Swee lebih berminat dengan mereka yang beraksi dalam kempen kali ini.

Dalam ketiadaan pemain yang gagal diberikan pelepasan seperti pertahanan utama Selangor, Syahmi Safari, serta pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham, individu lain diberikan peluang.

Antaranya adalah pemain seperti Arif Ar Rasyid Ariffin dan Danial Hakim Deraman yang wajar diberikan pujian sepanjang tiga aksi Malaysia di Phnom Penh.

"Saya tidak mahu menyentuh tentang pemain yang tiada di sini. Apa yang penting adalah siapa yang ada di sini. Mereka membuktikan bahawa mereka mahu bersama pasukan. Pemain yang ada membuktikan kemampuan mereka walaupun tanpa beberapa nama," kata Kim Swee.

Selepas ini, skuad kendalian Kim Swee itu akan beralih tumpuan kepada kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 26 Mac ini.

"Oleh kerana jadual terlibat dengan jadual Liga Malaysia dan stadium tidak begitu baik, ia merencatkan permainan pasukan. Apa yang saya lihat, ada beberapa pemain yang mampu mengisi slot tertentu. Mereka hanya perlu diberikan masa lebih panjang serta banyak pendedahan di peringkat antarabangsa.

"Saya percaya mereka mampu menjadi pesaing buat pemain sedia ada."