Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, berharap khidmatnya akan terus ditagih sehingga tamat kontrak pada penghujung 2017, tidak kira siapa pun yang bakal menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebelum ini, Kim Swee lebih bersikap tertutup untuk tidak memikirkan spekulasi masa depannya bersama skuad negara apabila berakhirnya pemilihan kongres FAM pada 25 Mac ini.

Bagaimanapun, kali ini dia memberi bayangan ingin terus mengendalikan pasukan Harimau Malaysia mengikut kontrak dua tahun yang telah diikat sejak Januari 2016 sehingga hujung tahun ini.

"Sudah tentu saya mahu meneruskan khidmat sehingga kontrak saya berakhir kerana masih banyak lagi saya belum capai bersama skuad kebangsaan.

"Apa pun, saya tetap akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat FAM," ujarnya.

Bagi perlawanan persahabatan berdepan Filipina pada Rabu, Kim Swee menuntut aksi lebih agresif daripada bahagian pertahanan untuk tidak memberi sebarang ruang buat lawan selain positif kemenangan akan berpihak kepada mereka di Manila.

"Kami perlu ada kesinambungan, tidak boleh terlalu bertahan dan menyerang. Saya boleh pastikan kami akan turun dengan corak yang lebih menarik kali ini kerana kami tidak dibebankan dengan sebarang tekanan," tambahnya.