Jurulatih skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, mengambil keputusan untuk menggugurkan penyerang, Syafiq Ahmad, selepas kegagalan pemain itu melapor diri ke kem latihan kebangsaan sejak 27 November lalu.

Bagaimanapun, hanya 23 pemain akan diterbangkan ke China bagi berhadapan tiga aksi Kumpulan C bertemu Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam Kejohanan AFC B-23 di Jiangsu, China, tahun depan.

Satu pangilan telefon daripada Syafiq semalam sudah cukup untuk membawa kepada keputusan penggugurannya daripada skuad B-23 negara.

Ia diputuskan Kim Swee selepas mengambil kira kepentingan Syafiq -- yang baru melangsungkan perkahwinannya Ahad lalu -- dan paling utama pasukan yang sudah memulakan latihan mereka sejak 10 hari lalu.

"Saya mengambil keputusan untuk menggugurkan Syafiq kerana dia gagal melaporkan diri ke kem latihan pusat," kata Kim Swee.

Ketiadaan Syafiq membuka ruang kepada pemain lain untuk merebut tempat dalam senarai 26 pemain ke Mokpo, Korea Selatan untuk menjalani kem latihan pusat selama 14 hari.

"Kami masih mempunyai beberapa pemain lain yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Syafiq. Ketiadaannya memberikan kesan tetapi membuka peluang kepada pemain-pemain lain membuktikan kebolehan mereka," tambahnya.