"Kemenangan lebih penting buat skuad negara," itu reaksi jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, selepas anak buahnya bergelut untuk menumpaskan Mongolia 2-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan H kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Stadium Supachalasai, hari ini.

"Kami jangkakan ia adalah satu perjuangan, pada masa sama pemain kami nampak lemah. (Tetapi) apa yang penting kami meraih tiga mata.

"Itulah yang kami perlu lakukan, dan bagi saya itu adalah keputusan yang baik untuk kami," katanya.

Dalam perlawanan itu, Kim Swee merombak kesebelasan utamanya membabitkan seramai lima pemain, bagaimanapun, mereka dilihat berhempas pulas untuk mendapatkan jaringan.

Gol pertama hanya tiba lima minit selepas rehat, hasil jaringan N. Thanabalan dan terpaksa menunggu sehingga minit ke-86 untuk meraih gol kedua menerusi Syazwan Andik.

Perlawanan turut menyaksikan Mongolia beraksi tempang pada minit ke-56 susulan Uuganbayar Baterdene dilayangkan kad merah kerana mengasari Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

"Pertukaran yang saya lakukan tidak berfungsi dengan baik untuk kami. Jadi saya terpaksa menurunkan pemain utama kami dan selepas itu ia dapat dilihat pergerakannya jauh lebih baik dan berjaya menjaringkan dua gol," tambah Kim Swee.

Sementara itu, jurulatih Mongolia, Michael Weiss, memuji karakter pemainnya setelah berjaya menghadirkan tentang sengit ke atas skuad negara.

"Pada awalnya kami bermain di depan dan memberi tekanan kepada mereka. Kalau kami sedikit bernasib baik, kami boleh menjaringkan gol tetapi ia tidak berlaku dan layangan kad merah mengubah corak permainan," katanya.

Skuad negara mengesahkan kelayakan untuk beraksi dalam saingan akhir di China pada tahun depan selepas muncul juara kumpulan itu.

Malaysia menduduki tangga teratas selepas perlawanan terakhir Kumpulan H di antara Thailand dan Indonesia terikat 0-0, sebentar tadi.