Kim Swee: Kesilapan sendiri bawa padah

Oleh Staff Writer 11 Januari 2018 2362
Kim Swee: Kesilapan sendiri bawa padah
Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan kesilapan sendiri pemain-pemainnya menjadi faktor utama kekalahan 1-4 di tangan Iraq dalam perlawanan pertama Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, semalam. 

Dalam pertemuan itu, skuad muda negara dibolosi dua gol mudah pada minit ke-28 dan 81 yang berpunca daripada kealpaan pemain negara sendiri dalam melakukan hantaran yang lemah kepada rakan sepasukan.

"Sedih apabila melihat kami dibolosi dua kali hasil daripada kesilapan yang patut kami elakkan. Apabila pemain-pemain mula mempamerkan permainan sebenar, mereka ternyata mampu bersaing, membuktikan Malaysia harus lebih berdisiplin di atas padang," katanya.

Lawan jelas berada di kelas tersendiri selaku juara edisi pertama pada tahun 2013 dan pemenang tempat ketiga pada 2016.

Bagaimanapun, pengendali Iraq, Abdul Ghani Shahad, mengakui Malaysia bukan lawan yang mudah walaupun memperoleh kemenangan selesa.

"Ia bukan perlawanan yang mudah kerana Malaysia juga adalah pasukan yang baik dan kemenangan kami hari ini banyak dibantu kesilapan mudah oleh pemain lawan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen