Empat pemain digugurkan daripada skuad bawah 22 tahun kebangsaan ekoran mengalami kecederaan menjelang Kejohanan AFF 2019 di Bangkok, bulan depan.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, berkata tiga pemain yang dilanda kecederaan adalah Muhammad Izzan Syahmi Mustapa, Ariusdus Jais dan Muhammad Faisal Abdul Halim.

Dia juga menjelaskan seorang lagi pemain yang turut digugurkan ialah Ariff Ar Rasyid Ariffin kerana belum sembuh daripada demam.

"Saya berkemungkinan akan memanggil pemain dari Kedah atau Kelantan untuk memantapkan pasukan menjelang aksi sebenar Kejohanan AFF," katanya dalam sidang media selepas aksi persahabatan dengan pasukan MIFA di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, hari ini.

Terdahulu dalam perlawanan itu, MIFA kendalian ketua jurulatih, K.Devan, menang 1-0 ke atas skuad muda negara dengan gol tunggal dijaringkan pemain import, Pedro Monteiro, pada minit ke-21 melalui sepakan penalti.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Kim Swee menjelaskan dia berpuas hati dengan aksi dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit permainan.

"Perlawanan ini penting bagi menilai prestasi pemain dan kami masih memiliki tiga perlawanan persahabatan di Bangkok.

"Saya akan menilai pemain dalam aksi seterusnya dan mencuba beberapa kombinasi. Dalam perlawanan ini, kombinasi di bahagian tengah sangat baik," tambah Kim Swee.

-- BERNAMA