Saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 dan saingan empat negara membabitkan skuad senior serta skuad B-22 negara Mac depan menimbulkan dilema buat dua pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan Datuk Ong Kim Swee.

Ia gara-gara beberapa pemain menjadi tonggak kedua-dua pasukan tersebut, dengan Kim Swee secara terbuka mengakui mahu skuad dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 dibarisi pemain terbaik.

Isu perebutan pemain dijangka berlaku apabila dua kejohanan membabitkan skuad kebangsaan itu akan berlangsung serentak pada waktu kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Mac depan.

Tatkala skuad 'abang' akan beraksi dalam kejohanan yang menawarkan mata ranking dunia, skuad 'adik' pula berdepan cabaran kelayakan Kejohanan AFC yang merupakan langkah awal ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketika dua kejohanan itu dilihat sama penting buat kedua-dua pasukan, Kim Swee tetap mengharapkan pasukannya diberi keutamaan bagi tugasan kali ini.

"Ini merupakan saingan kelayakan yang penting buat skuad B-23. Kami berharap dapat menampilkan barisan terbaik serta enggan mengambil mudah setiap perlawanan yang perlu dihadapi," kata Kim Swee.

Empat bintang muda negara, iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari yang beraksi dalam Piala Suzuki AFF tahun lalu tetap berada dalam senarai kesebelasan Kim Swee.

Kim Swee dan pengendali Harimau Malaya, Cheng Hoe, perlu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mendapatkan situasi menang-menang berhubung konflik ini.

"Ini merupakan tiket skuad negara ke Sukan Olimpik dan saya mahu menampilkan barisan terbaik untuk perlawanan ini."

Sementara itu, bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, berasakan keutamaan untuk mendapatkan pemain terbaik harus diberikan kepada Cheng Hoe.

Baginya, skuad senior adalah lambang kepada bola sepak setiap negara, apatah lagi saingan Piala Empat Negara menawarkan mata ranking dunia yang diakuinya begitu penting buat Malaysia ketika ini.

"Skuad senior adalah keutamaan. Saingan Piala Empat Negara ini akan menentukan kedudukan ranking Malaysia. Pada pendapat saya, keutamaan harus diberikan kepada skuad bimbingan Cheng Hoe," kata Sathianathan.