Hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan Lee Tuck sebagai pemain warisan negara seawal Jun ini mungkin tertangguh susulan kerumitan dalam proses pendaftaran pemain itu sebagai pemain tempatan.

Tuck menjadi calon hangat FAM untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan dengan kadar segera.

Ia susulan proses pendaftaran pemain tengah Terengganu itu lebih mudah berbanding calon pemain naturalisasi kerana ada pertalian darah dengan Malaysia.

Bagaimanapun, sehingga kini FAM masih belum mempunyai dokumen lengkap membabitkan status neneknya yang berasal dari negara ini.

"Kami sedang mendapatkan dokumen yang lengkap bagi memastikan Lee Tuck dapat menjadi pemain warisan negara," kata Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Jawatankuasa itu memberi tempoh dua minggu kepada Jabatan Skuad Kebangsaan untuk mendapatkan dokumen berkaitan bagi membolehkan Lee Tuck mewakili negara dalam aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2022, Jun ini.

Tempoh itu juga diberikan kepada Jawatankuasa Pemilihan diketuai jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, untuk memilih calon terbaik bagi didaftarkan sebagai pemain naturalisasi kedua negara selepas pemain Pahang, Mohamadou Sumareh.

"Kami sedang berusaha untuk mendapatkan dua lagi pemain naturalisasi, namun penilaian secara terperinci harus dilakukan untuk mendapatkan pemain yang sesuai dengan skuad negara," katanya lagi.