Jurulatih skuad B-16 tahun negara, Lim Teong Kim, ditamatkan khidmat serta-merta susulan kegagalan anak buahnya meraih tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

Cabaran pasukan bimbingan Teong Kim dalam saingan Kejohanan AFC B-16 2018 sekadar di peringkat kumpulan.

Walaupun melakar kemenangan dalam aksi pertama dengan menewaskan Tajikistan 6-2, mereka terpaksa melupakan saingan setelah tunduk di tangan Thailand (4-2) dan Jepun (2-0).

Kekalahan itu meleburkan harapan skuad negara untuk mengulangi pencapaian anak didik S. Balachandran yang hanya selangkah ke Piala Dunia B-17 2015 di Chile apabila tewas tipis 1-2 kepada Australia dalam suku akhir di Thailand pada 2014.

Kegagalan tersebut mendorong Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat pengumuman itu hari ini dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menjelaskan keputusan itu berkuatkuasa serta-merta atas arahan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Datuk Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, memanggil Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM untuk mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, secepat mungkin.

“Ini bagi membentuk panel pemilihan untuk mencari pengendali baru skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan," katanya.

Dalam masa sama, FAM dilihat tidak campur tangan berhubung kedudukan Teong Kim selaku Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“FAM tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim, sebaliknya jurulatih itu mempunyai perjanjian dengan KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim," katanya.