Khairy puji prestasi hebat anak buah Kim Swee

Oleh Staff Writer 22 Januari 2018 765
Khairy puji prestasi hebat anak buah Kim Swee
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyambut baik prestasi skuad negara dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Kunshan, China dengan menegaskan barisan Datuk Ong Kim Swee telah meletakkan penanda aras yang jelas terhadap hala tuju bola sepak negara.

Gagal mempamerkan permulaan cemerlang apabila tewas 4-1 kepada Iraq, Malaysia bangkit apabila seri 1-1 dengan Jordan sebelum mengejutkan naib juara edisi 2013, Arab Saudi, 1-0 sekali gus melayakkan diri ke suku akhir.

Walaupun cabaran mereka disekat oleh Korea Selatan apabila tewas 2-1 kelmarin, mereka telah mempamerkan persembahan cemerlang dan mampu berdaya saing dengan pasukan gergasi Asia.

Melihat kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai relevan untuk dijadikan misi seterusnya, Khairy mahu semua pihak memahami keupayaan skuad negara juga perlu diuji menerusi satu pelan jangka yang panjang. 

Hakikatnya, Piala Asia 2023 adalah tempoh matang untuk skuad ini, menggalas tanggungjawab skuad senior selepas Malaysia berputih mata gagal melayakkan diri ke Piala Asia 2019.

"Jika corak dan kejayaan ini diteruskan dalam masa 10 tahun, saya rasa kelayakan ke Olimpik akan menjadi satu realiti.

"Begitu juga dengan pusingan kelayakan terakhir untuk ke Piala Dunia, ia mungkin bukan lagi satu angan-angan yang terlalu besar," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen