Khairul Fahmi Che Mat bertekad untuk mengekalkan statusnya sebagai penjaga gol nombor satu kebangsaan apabila bersedia mengemudi benteng terakhir dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Fiji, Khamis ini.

Khairul Fahmi, yang mesra dipanggil Apek, kembali menyarung jersi kebangsaan Mac lalu selepas hampir dua tahun disisihkan ekoran prestasi tidak menentu.

Terpaksa bersaing sengit dengan penjaga gol lain, penjaga gol Melaka itu mula diberi kepercayaan selaku penjaga gol utama negara ketika pertemuan menentang Bhutan, April lalu.

Dia mempamerkan aksi cemerlang menerusi ketangkasannya dalam memastikan gawang skuad negara tidak dibolosi, sekali gus berazam untuk mengulangi prestasi itu bagi aksi terbaru bertemu Fiji.

"Saya harus bekerja keras jika ingin berada dalam kesebelasan utama dan ia terpulang kepada jurulatih.

"Setiap penjaga gol mempunyai kelebihan masing-masing," katanya.

Khairul Fahmi yang merupakan sebahagian daripada skuad yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dijangka menyarung lilitan kapten setelah Zaquan Adha Abdul Radzak hampir pasti tidak diturunkan ekoran kecederaan.

Bagaimanapun, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, enggan memikirkan perkara itu, sebaliknya fokus untuk mempersiapkan barisan terbaiknya bagi misi wajib menang berdepan Fiji.

"Setiap bahagian dalam pasukan sangat penting tetapi semua pemain memiliki keyakinan untuk memberikan persembahan terbaik. Saya rasa barisan pemain yang ada sangat seimbang," ujar Cheng Hoe.