Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, bertegas isu melibatkan kewangan tidak pernah lekang daripada memainkan peranan selain permasalahan yang timbul adalah perkara biasa dalam membina sebuah industri.

Sebagai watak penting selaku penggerak utama MFL, Kevin menegaskan pasukannya sudah melakukan yang terbaik demi kelangsungan bola sepak negara.

Menerusi pelbagai isu kewangan membabitkan pemain sehingga ada yang terpaksa membuat kerja yang berbeza daripada bidang sebenar, adegan menyalahkan pihak lain mula berlaku.

"Pelesenan kelab merupakan langkah pertama, kawalan ekonomi dengan memastikan kelab hanya berbelanja berdasarkan pendapatan pasukan.

"Kami telah berusaha mengambil langkah dan semestinya ia akan mengambil masa untuk direalisasikan. Kritikan sentiasa akan hadir dan kami perlu menghadapinya," katanya.

Tegas Kevin lagi, isu adalah perkara yang tidak dapat dielak, namun tidak wajar melabelkan setiap isu yang berlaku sebagai bukti industri bola sepak adalah mustahil untuk Malaysia.

Merujuk kepada laporan khas "Industri Dongeng" yang ditimbulkan Nadi Arena minggu ini, Kevin menunjukkan kesilapan yang berlaku adalah daripada pihak persatuan dan kelab sendiri.

"Mengapa perlu terkejut dengan isu yang dihadapi industri bola sepak negara? Banyak lagi industri di luar negara turut mengalami krisis walaupun sudah lama bertapak."