Kevin: Jangan tunggu duit jatuh dari langit

Oleh Staff Writer 18 September 2018 2103
Kevin: Jangan tunggu duit jatuh dari langit
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam, memberi ingatan keras kepada pasukan yang terus dihimpit soal kewangan agar melupakan cabaran di pentas Liga Malaysia pada masa akan datang atau pantas melakukan perubahan.

Nadi Arena semalam melaporkan sekurang-kurangnya 14 pasukan sedang mengalami masalah tunggakan gaji berdasarkan pemantauan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Sedar akan masalah itu, Kevin amat kecewa melihat situasi terbabit kerana belum ada anjakan daripada sikap sesetengah pasukan negeri dan kelab dalam soal penjanaan kewangan.

Jika berterusan, dia tidak kisah jika pasukan-pasukan ini berkubur dengan sendirinya satu hari nanti.

"Jika ada sedemikian, saya harap mereka terkubur juga. Mereka menegaskan bahawa mereka kekurangan dana tetapi tiada apa-apa usaha yang mendorong semua pihak agar menyokong pasukan itu.

"Jadi, mereka tidak berbuat apa-apa dan hanya menunggu duit jatuh dari langit," ujarnya.

Memandangkan pelesenan kelab bakal dikuatkuasakan dalam Liga Perdana mulai 2019, Kevin memberi amaran, terutama buat pasukan Liga Super, agar memperbaiki struktur kewangan mereka jika tidak mahu beraksi dalam Piala FAM.

"Pernah berlaku dalam liga lain seperti Liga Thailand, di mana sesebuah pasukan itu diturunkan dua taraf liga. Mungkin di situ mereka tidak memerlukan lesen.

"Perbincangan sedang dijalankan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen