LIVERPOOL 0 BAYERN MUNICH 0

Liverpool gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Anfield selepas diikat tanpa jaringan oleh Bayern Munich, awal pagi tadi.


Pasukan Liga Perdana Inggeris itu memaparkan beberapa serangan berbahaya sepanjang aksi, namun kini perlu bergantung kepada jaringan gol laman lawan ketika kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu di Arena Allianz, 13 Mac depan.

Jurgen Klopp, yang kehilangan khidmat Virgil van Dijk dan Dejan Lovren akibat penggantungan dan kecederaan, harus bersyukur kerana barisan pertahanannya tidak dibolosi berdasarkan beberapa ancaman bahaya yang didatangkan juara Jerman itu.

Namun, ketumpulan di bahagian depan yang ditunjangi Roberto Firmino menjadikan laluan mereka ke suku akhir semakin sukar.

Liverpool, yang menggandingkan Fabinho dan Joel Matip di posisi pertahanan tengah, berdepan situasi getir pada awal permainan, namun bernasib baik apabila sepakan penjuru Serge Gnabry yang gagal di sepak kemas pertahanan tuan rumah, menuju tepat ke arah Alisson.

Pendekatan Bayern mengubah corak permainan kepada gaya yang lebih terbuka memberikan peluang kepada Kingsley Coman, namun percubaannya sekadar menggegar sisi luar jaring lawan.

Tuan rumah kemudian menguasai perlawanan dengan percubaan Sadio Mane yang tersasar sebelum Mohamed Salah dan Matip turut menguji gawang lawan.

Percubaan Salah dalam keadaan badan yang tidak stabil mensia-siakan peluang terbaik Liverpool dan Matic pula melakukan percubaan jarak jauh yang melewati palang gol lawan.

Jaringan lewat permainan yang dinanti-nantikan skuad kendalian Klopp itu bagi membawa kelebihan menjelang perlawanan kedua, tidak kunjung tiba dengan aksi cemerlang Manuel Neuer menyelamatkan tandukan Mane yang terbias di "near post" merupakan aksi terbaik yang dapat disaksikan sepanjang 30 minit terakhir perlawanan.