Ketiadaan Messi bukan alasan untuk kalah, kata Suarez

Oleh Staff Writer 24 Januari 2019 793
Ketiadaan Messi bukan alasan untuk kalah, kata Suarez
SEVILLA 2 BARCELONA 0

Penyerang Barcelona, Luiz Suarez, menegaskan ketiadaan rakan sepasukannya, Lionel Messi, bukan alasan untuk pasukan itu tewas 0-2 kepada Sevilla dalam suku akhir pertama Copa del Rey, awal pagi tadi.


Messi, yang masuk sebagai pemain gantian ketika membantu Barca menewaskan Leganes dalam saingan LaLiga hujung minggu lalu, direhatkan pengendali pasukan, Ernesto Valverde, bagi menumpukan kepada pertemuan menentang Lyon dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, bulan depan.

Gol separuh masa kedua daripada Pablo Sarabia dan Wissam Ben Yedder memberikan kemenangan kepada Sevilla walaupun Valverde memasukkan Suarez, Philippe Coutinho dan Jordi Alba sebagai pemain gantian dalam babak itu.

Sebagai rekod, Barcelona tewas dua daripada lapan perlawanan tanpa Messi dan tewas dua kali sepanjang 24 perlawanan yang disertai bintang Argentina itu.

Bagaimanapun, Suarez enggan menjadikan ketiadaan Messi itu punca pasukannya tewas memandangkan juara bertahan itu turut dipaksa bangkit sewaktu ketinggalan kepada Levante dalam pusingan terdahulu.

"Sebelum ini, Leo juga tidak terlibat dengan perlawanan menentang Levante.

"Kami mengambil alih posisinya dan berjaya membantu kemaraan pasukan.

"Jadi, ketiadaannya hari ini tidak boleh dijadikan alasan.

"Saya berharap Leo dapat diturunkan dalam aksi kedua memandangkan dia mampu untuk memberikan kelainan dalam pasukan.

"Aksi sepanjang bulan ini amat merumitkan.

"Piala ini penting buat kami, namun memastikan mata dalaim saingan liga lebih penting.

"Kami juga perlu memikirkan tentang saingan Liga Juara-Juara Eropah yang bakal tiba.

"Kami mempunyai pemain yang ramai untuk mengatasi situasi ini," katanya.

Turut senada dengan Suarez adalah pertahanan tengah Barca, Gerard Pique.

"Kami mempunyai skuad yang berdaya saing dan jurulatih mahukan setiap pemain turut serta.

"Kami beraksi baik, namun mereka memanfaatkan setiap peluang.

"Messi diturunkan dalam aksi kedua? Ia bergantung kepada keputusan jurulatih," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen