Qatar percaya terhadap kemampuan mereka untuk menganjurkan Piala Dunia 2022 dengan jayanya walaupun berdepan cabaran besar sebagai sebuah negara kecil menjadi hos kejohanan bola sepak terulung di dunia.

Piala Dunia 2022 bakal menawarkan pengalaman berbeza kepada penyokong berbanding sebelum ini susulan buat pertama kalinya kejohanan terbesar bola sepak di dunia itu akan diadakan berdekatan dari satu venue ke satu venue lain.

Jarak terpanjang di antara stadium yang hanya sejauh 55 kilometer, bermakna peminat dapat menyaksikan lebih daripada satu perlawanan sehari untuk aksi peringkat kumpulan.

Namun, di sebalik keunikan penganjuran edisi itu nanti, negara teluk yang kecil itu dijangka berdepan isu kesesakan penyokong.

"Kami (Qatar) telah menjalankan kaji selidik dengan menggunakan pelbagai kaedah dan teknologi yang dapat membantu kami. Pihak kami mencari jalan penyelesaian tentang bagaimana para penyokong dapat bergerak dari satu venue ke venue lain dengan mudah.

"Ya, kami sebagai penganjur pastinya menitikberatkan soal keselesaan penyokong dan akan pastikan semuanya berjalan dengan lancar," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Piala Dunia 2022, Nasser Al-Khater.

Qatar sudah membelanjakan berbilion dolar untuk meningkatkan infrastruktur mereka dalam persiapan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Lantas, mereka menyuarakan keyakinan bahawa segala kemudahan mampu disiapkan mengikut jadual, selain kemampuan bergelar hos terbaik selaku negara Islam dan Arab pertama menganjurkan Piala Dunia.