Jurulatih baru Real Madrid, Julen Lopetegui, menyedari tuntutan dan jangkaan kelab itu menerusi pengalamannya di kelab Sepanyol itu dengan menganggapnya sebagai kelebihan kepadanya untuk meraih kejayaan.

Madrid kehilangan jurulatih, kurang dari seminggu selepas memenangi gelaran Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut berikutan Zinedine Zidane -- individu di belakang kejayaan tersebut -- memilih untuk meletak jawatan.

Hanya tiga hari sebelum Sepanyol memulakan kempen Piala Dunia 2018, Madrid membuat pengumuman bahawa Lopetegui -- yang sedang mengendalikan pasukan kebangsaan -- akan mengambil-alih tugas tersebut sebaik kempen Piala Dunia berakhir, pengumuman yang mengundang kepada pemecatan bekas penjaga gol itu.

Lopetegui kini memberi tumpuan penuh untuk cuba menggantikan Zidane dengan jaya memandangkan dia pernah berkhidmat untuk kelab itu sebagai pemain dan jurulatih pasukan 'B' Real Madrid, Castilla, dan pengurus berusia 51 tahun itu percaya dia akan memulakan kempen dengan memberangsangkan.

"Tanpa sebarang keraguan, kelebihan mengenali kelab ini, intipatinya, 'Madridismo' (peminat Madrid) serta apa yang didambakan oleh peminat menjadi azimat," kata Lopetegui kepada laman sesawang kelab itu.

"Ini kerana, selain kemenangan, wujud hasrat yang perlu dipenuhi secara dasarnya dan kepentingannya. Itulah kebanggaan Real Madrid.

"Jurulatih perlu sedar dengan realiti ini, anda perlu rasakannya bahawa terdapat individu yang sudah bertahun-tahun menetap di sini, mereka merasakan dan merealisasikannya. Saya tidak mempunyai sebarang keraguan untuk mengulanginya."

Perbezaan utama di antara era Madrid di bawah bimbingan Lopetegui dan Zidane adalah ketiadaan Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Juventus dalam perjanjian bernilai €112 juta (RM528.6j)

Bagaimanapun, Lopetegui seakan-akan tidak terjejas dengan perpindahan Ronaldo dengan melahirkan keyakinan bahawa kelab itu dalam keadaan baik untuk bersaing.

"Kami mempunyai pasukan yang hebat," kata Lopetegui. "Saya berada di Valdebebas (pangkalan latihan Madrid) dan tidak ada kata-kata dapat menggambarkannya.

"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan cinta saya semasa diperkenalkan. Saya sukakan segala-galanya.

"Dalam barisan kejurulatihan, saya mempunyai kakitangan yang sangat bagus tanpa mengira apa yang berlaku serta akan ada perkara dan situasi yang akan dimuktamadkan pada minggu ini.

"Kami akan mempunyai pasukan hebat dan bersedia menghadapi segala cabaran dengan jaminan maksimum."