Penyerang skuad negara, Muhammad Akhyar Rashid, mengharapkan aksi dalam kesebelasan utama sementara perancang tengah, Muhamad Nor Azam Azih, bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan sama menjelang pertemuan kedua Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 menentang Jordan, esok.

Akhyar mempamerkan persembahan terpuji ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan pertama menentang Iraq, kelmarin yang menyaksikan Malaysia tunduk 1-4.

Pemain Kedah berusia 19 tahun itu mencipta beberapa gerakan bahaya ke kubu lawan sebelum muncul pencetus kepada jaringan tunggal Malaysia yang dihasilkan oleh Safawi Rasid pada minit ke-79.

Kelincahannya tampak ditagih pengendali, Datuk Ong Kim Swee, untuk aksi kedua bertemu Jordan susulan kecederaan paha yang menimpa N. Thanabalan.

"Untuk berdepan Jordan, saya menyasarkan tempat dalam kesebelasan utama kerana Thanabalan mengalami kecederaan, jadi itu menjadi peluang buat saya," kata Akhyar.

Tatkala Akhyar mahu mencatat jaringan, Azam pula enggan kesilapannya tempoh hari mempengaruhi permainannya jika diturunkan berdepan Jordan.

Malah, pemain Pahang berusia 23 tahun itu mahu menebus kesilapan dengan membantu skuad negara memungut mata dalam pertemuan esok.

"Saya sedar banyak cemuhan kepada saya, terutama di laman sosial, tetapi saya harus fokus dan perbaiki kesilapan lalu," ujarnya.