Jurulatih Jepun, Akira Nishino, percaya ia memerlukan usaha sepasukan untuk mengekang perancang Colombia, James Rodriguez, sempena aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia Russia, esok.

James memenangi Anugerah Kasut Emas dengan menjaringkan enam gol ketika membantu Colombia mara ke suku akhir edisi empat tahun lalu sebelum disingkirkan tuan rumah, Brazil.

Dia menyamai jumlah jaringan itu di peringkat kelayakan selain menyumbangkan bantuan gol untuk membantu Colombia menempah tempat dalam pusingan akhir di Russia menerusi slot keempat dalam kelayakan zon CONMEBOL.

Jepun mengintai untuk memperbaiki pencapaian edisi 2014 apabila hanya memungut satu mata dan keputusan positif menentang Colombia di Saransk nanti akan membantu mereka untuk menghadapi cabaran kumpulan terbuka yang turut dihuni Poland dan Senegal.

Justeru, Nishino sudah mengenal pasti langkah untuk merantai James -- dipinjamkan di Bayern Munich dari Real Madrid -- yang merupakan kunci untuk Jepun memulakan saingan dengan keyakinan tinggi.

"James Rodriquez merupakan simbol pasukan Colombia, dia seorang penjaring gol dan penentu rentak permainan. Sukar untuk merantainya, ia memerlukan keseluruhan jentera pasukan untuk menyekatnya," kata Nishino dalam sidang media.

"Kami tidak boleh memberi dia masa atau ruang. Colombia akan memainkan gaya tersendiri dan kami tidak mahu membiarkan mereka melakukannya.

"Jika kami boleh bersaing dengan 10 lawan 10 pemain, terdapat kemungkinan bahawa kami mungkin dapat merantainya (James), tetapi saya tidak fikir ia akan berfungsi seperti itu.

"Dia berada di merata tempat di atas padang, posisinya itu menyebabkan keseluruhan pemain Jepun perlu mengawasinya."