Juara Piala Dunia 2018, Perancis, disambut bagaikan raja oleh ratusan ribu penyokong ketika kembali ke Paris semalam serta telah dijanjikan Anugerah Legion of Honor menjelang sambutan oleh Presiden.

Kemenangan 4-2 ke atas Croatia di Moscow kelmarin memastikan Perancis meraih kejayaan Piala Dunia kedua, sekali gus mencetuskan pesta tanpa henti di negara itu.

Penyokong memanjat Champs-Elysees, jalan paling terkenal di Paris, sejurus perlawanan berakhir selepas menonton aksi wira mereka di Arc de Triomphe dengan lebih sejuta orang dilaporkan berarak dan berpesta sepanjang malam.

Pasukan Perancis meninggalkan pangkalan latihan mereka di Istra, Russia, semalam sebelum disambut oleh peminat di Lapangan Terbang, Charles de Gaulle, Paris.

Sebaik mendarat, jurulatih, Didier Deschamps, dan kapten, Hugo Lloris, merupakan individu pertama yang keluar dari perut pesawat berkenaan dengan trofi berprestij itu.

Walaupun ramai penduduk Paris berjaga sepanjang malam, mereka masih menantikan kepulangan Les Bleus ke Paris beserta trofi.

Diarak di atas bas terbuka, Perancis dibawa ke Paris dengan trofi yang dijulang tinggi, orang ramai menjerit ke arah wira mereka ketika dalam perjalanan menuju ke Champs-Elysees diselangi kepulan asap suar.

Pertahanan, Presnel Kimpembe, kelihatan begitu yakin tatkala dia bersandar di atas dek bas tanpa berpaut dengan apa-apa sambil menggenggam trofi Piala Dunia.

Destinasi mereka seterusnya adalah Istana Elysee, di mana mereka akan bertemu dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang turut meraikan kejayaan Les Bleus di Russia semalam.

Beberapa nama stesen metro di sekitar bandar berkenaan telah ditukar bersempena nama pemain Perancis buat sementara waktu, manakala jurulatih mereka mendapat pengiktirafan tertinggi apabila Stesen Champs-Elysees dinamakan sebagai Deschamps-Elysees.

Tetapi, itu bukanlah satu-satunya penghormatan yang mereka terima. Seperti yang dijanjikan oleh Macron semalam, pemain Perancis akan dianugerahi Legion of Honor, pengiktirafan tertinggi atas "perkhidmatan luar biasa" kepada negara.

Lebih 3,000 orang dilaporkan menghadiri majlis sambutan oleh Macron itu, termasuk hampir 1,000 pemain muda dari kelab bola sepak di seluruh Perancis.

Walaupun 24 jam telah berlalu sejak kemenangan itu, pesta Perancis baru sahaja bermula dengan skuad tersebut disambut Macron yang memulakan acara itu dengan lagu kebangsaan -- 'La Marseillaise' -- di tangga di depan Istana Presiden.