Penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga, berkata dia memahami kesedihan David de Gea selepas bintang Manchester United itu hanya menyaksikan perlawanan pusingan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi dari bangku pemain simpanan.

De Gea terpinggir bagi memberikan laluan kepada Kepa dalam tiga perlawanan berturut-turut buat Sepanyol dengan yang terbaru ketika pasukan itu menewaskan Sweden 3-0 di Santiago Bernabeu, Madrid.

Ia merupakan waktu sukar buat De Gea, yang kehilangan arah sewaktu bersama United pada penghujung musim ini.

Bercakap kepada wartawan selepas Sepanyol berkelebihan lima mata di puncak Kumpulan F, Kepa berkata: "Saya akan terus berusaha seperti yang saya lakukan ketika ini, melakukan yang terbaik untuk kelab bagi meningkatkan keyakinan jurulatih.

"Sesiapa yang terpilih akan memberikan yang terbaik.

"Sudah pasti saya memahami kesedihan De Gea.

"Kami berlatih untuk diturunkan dan keputusan itu terletak di tangan jurulatih.

"Ia terpulang kepada anda untuk memberikan respons yang baik.

"Saya mempunyai hubungan yang baik dengan David.

"Kami meluangkan banyak masa untuk berlatih bersama.

"Sama juga seperti Pau Lopez kerana kami adalah penjaga gol.

"Kami mempunyai hubungan yang terbina sejak beberapa tahun lalu dan kami tidak perlu berkata apa-apa untuk membantu satu sama lain," katanya.

Ditanya sama ada dia kini penjaga nombor satu Sepanyol, Kepa menambah: "Saya hanya berasakannya untuk malam ini kerana saya masih tidak berasakan yang saya penjaga gol utama.

"Saya hanya salah seorang daripada tiga penjaga gol yang dipilih Luis Enrique dan apabila diberikan peluang untuk beraksi, saya cuba untuk menambah pengalaman saya kepada pasukan," tambahnya.